Daun Palas dalam Ikatan

Daun Palas dibuka sebelum boleh dibuat Ketupat

Ketupat daun palas yang sudah siap
Bagi yang tidak mengetahui, ketupat daun palas adalah sejenis ketupat yang lazimnya dibuat oleh orang utara semenanjung. Berbeza dengan ketupat yang biasa ditayangkan di kaca television, ketupat daun palas berbentuk segitiga dan diisi dengan beras pulut. Kadang-kadang, kacang merah juga turut dimasukkan bersama-sama beras pulut tadi.
Membuat pulut ini, sedikit berbeza dengan ketupat biasa.
1) Anyaman dan lipatan lebih mudah
2) Agakan isi untuk dimasukkan lebih mudah, memandangkan pulut yang dimasukkan sudah sedikit ditanak. Ketupat biasa memerlukan ketepatan dalam mengisi beras, kira-kira 1/3 jumlah isipadu ketupat. Lebih dari itu boleh menyebabkan ketupat itu keras sesudah dimasak, dan kurang enak dimakan.
3) Masa tanak ketupat pulut lebih pendek (kurang 2 jam) berbanding ketupat biasa (3 jam)
Ayah saya berasal dari kedah, jadi sememangnya beliau penggemar ketupat daun palas @ ketupat pulut. Masuk hari raya ke-2, kami pun berjalan hingga ke pasar Larkin, kira-kira 30km dari rumah semata-mata mencari ketupat daun palas. Namun, tiada rezki.
Kami singgah di sebuah kedai runcit di situ. Niat ingin membeli gambir, pinang, kapur (barang rencam makan sireh. Untuk persediaan majlis pernikahan). Sedang sibuk bertanya dengan tukang kedai, datang seorang makcik. Dia sedang mencari pulut. Katanya hendak buat ketupat daun palas. Jawab ayah saya ” kami pulut ada kat rumah, daun yang takde”. Tanpa teragak-agak, makcik tadi memberikan alamat rumahnya. Kata ayah saya “kalau kami tak jumpa, nanti kami singgah”.
Sungguh, kami tak kenal makcik tadi. Mak saya sedikit risau, takut-takut makcik tadi adalah ‘conwoman’ yang cuba menipu orang. Tapi, pada ayah, makcik tadi patut lagi risau nak beri alamat rumahnya pada kami.
Alkesah, kami tak jumpa juga daun palas. Akhirnya, kami pergi lah ke rumah makcik tadi. Memandangkan saya dan ayah berpuasa pada hari tersebut, kami cuba duduk bersembang. Rupa-rupanya, makcik tadi merupakan mak mertua kepada bos Kakak saya yang bekerja di Hospital JB (yang baru mahu belajar blog). Alkesah, makcik tu pun beri 3 ikat daun palas kepada kami.
Sampai di rumah, kami pun buatlah ketupat, dan juga agih-agihkan daun tersebut kepada jiran-jiran yang berminat.
Itulah kisah raya ke-2 saya, dan juga kisah kebaikan hati orang utara. Bukan apa, cuma, saya rasa budaya begitu sudah sedikit mati di bahagian lain, dan juga generasi sekarang di negara kita. Begitu murahnya hati makcik tadi, mengundang orang yang tak dikenali datang ke rumah, hanya untuk daun palas, moga Allah sahaja yang balas.
Selamat hari raya, Kullu ‘am wa antum bikhair. Takbeer!!! Allahuakbar.